PROMOSI APE HARI NI.

Wednesday, February 17, 2010

LANGKAH BIJAK ANDA?

Salam,
PERNAHKAH anda bertanya kepada diri sendiri bagaimana kehidupan yang bakal dilalui di hari tua? Sebaik bersara, adakah diri mampu untuk menyara hidup.
Mungkin juga ramai yang menyimpan wang sebagai bekalan hari tua, namun adakah ia mencukupi bagi menampung hidup seterusnya apatah lagi untuk mengekalkan kehidupan serupa? Persoalan itu jarang bermain di fikiran masyarakat. Sebabnya, ada yang menjangkakan anak-anak akan menjaga mereka apabila tua kelak. Namun, ramai pula beranggapan mereka boleh menjalani kehidupan selesa dengan bergantung harap semata-mata kepada tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing.
Menurut Naib Presiden Pemasaran dan Ketua Segmen Kumpulan Pelanggan Global Citibank Berhad, Timothy Johnson, wang KWSP sebenarnya hanya dapat bertahan selama enam hingga lapan bulan bagi kebanyakan orang, tetapi hakikat itu tidak disedari masyarakat. Sedangkan selepas bersara pada usia 55 tahun, individu mungkin mempunyai masa kira-kira 20 tahun lagi untuk hidup. Jadi, sekiranya tiada perancangan kewangan kala muda maka akan timbul masalah di kemudian hari.
Sesungguhnya kita tidak mampu menjangkau apa yang bakal berlaku di masa hadapan.
Seseorang individu perlu sedar bahawa jumlah yang perlu disimpan adalah bergantung sepenuhnya kepada cara hidup semasa bersara nanti, dan juga jumlah pendapatan yang diperolehi sekarang. Ikuti langkah mudah merancang persaraan anda.

Langkah Mudah Merancang Persaraan
1. Anggarkan sasaran pendapatan yang diinginkan
Sebagai permulaan, tentukan berapakah jumlah pendapatan yang diperlukan pada setiap bulan supaya jumlah ini mampu menanggung kehidupan seseorang individu setelah bersara nanti.
Sebagai contoh. Jika anda berumur 45 tahun dan pendapatan anda pada hari ini adalah RM2,500 sebulan. Anda ingin bersara pada umur 65 tahun. Anggarkan purata kadar inflasi ialah 4% setahun. Ini bermakna anda memerlukan RM5,477 sebulan atau RM65,733 setahun dalam masa 20 tahun akan datang, yang bersamaan dengan RM2,500 sebulan atau RM30,000 setahun di masa sekarang. Ini bermakna semakin tinggi kadar inflasi, maka semakin tinggi jumlah pendapatan bulanan yang diperlukan, untuk memastikan anda mampu berbelanja sebagaimana anda berbelanja sekarang ini.
2. Tentukan jumlah pendapatan tahunan yang semasa bersara
Pada kebiasaannya, seseorang individu hanya memerlukan antara 70% hingga 80% daripada jumlah pendapatan sekarang sebagai pendapatan semasa bersara nanti. Pengurangan sebanyak 20% hingga 30% daripada jumlah pendapatan sekarang adalah memadai dikalangan individu tertentu, apabila mengambilkira hutang rumah selesai, hutang kereta selesai, anak-anak telah boleh hidup berdikari dan sebagainya. Walaubagaimanapun, pada sesetengah individu mereka masih perlu bekerja untuk meneruskan kehidupan di usia pencen kerana tabung persaraannya tidak mencukupi untuk menyara kehidupannya.
Daripada pengiraan di atas, anda memerlukan RM65,733 setahun untuk menyara kehidupan persaraan anda. Dengan mengambilkira tanggungan hutang rumah dan sebagainya telah selesai, anda memerlukan 70% daripada jumlah pendapatan semasa sebagai pendapatan persaraan, ini bermakna anda hanya memerlukan RM46,013.
Walaubagaimanapun, contoh jumlah keseluruhan ini tidak mengambilkira keadaan kesihatan seseorang individu semasa umur persaraannya. Sekiranya seseorang individu yang bersara sakit, maka jumlah pendapatan yang diperlukan adalah lebih lagi.
3. Ambilkira jumlah simpanan yang telah anda buat.
Dapatkan keseluruhan jumlah simpanan yang telah anda buat untuk tujuan persaraan, termasuk jumlah terkumpul wang KWSP anda , ASB serta pelaburan-pelaburan yang anda ada.
4. Dapatkan perbezaan jumlah yang diperlukan.
Daripada maklumat diatas, anda perlu pastikan jumlah yang anda perlukan untuk menampung kekurangan tabungan persaraan anda. Jumlah keseluruhan tunai yang terkumpul sehingga sekarang perlu ditolak daripada jumlah keseluruhan yang anda perlukan semasa bersara nanti. Baki yang anda lihat merupakan jumlah yang perlu anda tampung untuk memastikan anda bersara dengan selesa.
5. Tentukan jumlah simpanan bulanan yang perlu anda buat.
Setelah anda ketahui jumlah yang anda perlu tampung untuk bersara dengan selesa, anda perlu kirakan berapakah jumlah simpanan bulanan yang perlu anda lakukan secara disiplin demi mencapai sasaran pendapatan yang anda inginkan semasa bersara nanti.
semoga kita dapat menilai apa yang terbaik sekian wasalam.

1 comments:

Post a Comment

ShareThis

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails